Alhamdulillah..segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam keatas junjungan besar kita Nabi Allah Muhammad s.a.w, kaum kerabat baginda, para tabi’in & salafussoleh serta Ulama Besar Islam yang menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w.
Sudah 2minggu lebih saya membiarkan teratak ini bersawang tanpa sebarang ‘perabot baru’. Kesibukan sebagai seorang pelajar tahun akhir & ditambah pula masih dalam tempoh praktikal yang maha padat, saya tidak punya masa terluang untuk berteleku di hadapan lappy berlama-lamaan. Alhamdulillah..pada hari bening ini saya berkesempatan untuk menyediakan juadah yang boleh memberikan suntikan jiwa kepada sahabat sahabiah..InsyaAllah. ^^
Isu perkahwinan sewaktu dalam tempoh belajar memang selalu menjadi suatu persoalan yang besar bermain difikiran anak-anak muda kini. Malah, saya sendiri juga terkena libasan tempiasnya. Sebenarnya sebelum ini saya pernah terfikir untuk kongsikan pendapat sendiri & sedikit ilmu mengenai isu panas ini dalam teratak Sentuhan Pedusi. Namun, bilamana wujud bisikan halus yang seringkali mematahkan semangat seorang hamba lemah seperti saya..
“Engkau sendiri pun bukan main lagi b’couple..chat2..siap b’calling lagi…ada hati nak b’dakwah kat orang?!!!”
TIPUlah kalau saya kata xpernah b’couple..
TIPUlah kalau saya kata saya xde couple..
“Aku ni banyak buat benda yang tak betul. Jadi tak layak untuk berdakwah” Terasa diri tidak layak pula!
Dari Abdullah bin Amr ra, bahawa Nabi s.a.w bersabda,
بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً
"Sampaikan ilmu dariku walau satu ayat"
Namun, sampai bila nak tunggu akan jadi betul dulu? Sampai kiamat pun manusia ini melakukan kesilapan. Kalau rasa perlu jadi betul dahulu kemudian baru ingin berdakwah, nescaya xwujudlah pendakwah di muka bumi ini! Apa yang penting mari kita cuba perbaiki diri untuk jadi lebih baik dari semasa ke semasa.
T iada Istilah COUPLE dalam Islam
Tidak salah utk ada hubungan..ADA HUBUNGAN merujuk kepada antara kamu dan dia, saling kenal mengenali, sampai ke pengetahuan keluarga, saling mengiktiraf cinta, perasaan dan kasih sayang, saling memberi perhatian, hubungan yang dianggap lebih dari sebagai kawan biasa – TETAPI status tersebut kekal sebagai status rahsia, tidak perlu diwar-warkan kepada semua orang, tidak perlu dibuktikan dengan keluar bersama siang dan malam, tidak perlu diambil kesempatan dengan bergayut, bersms dan ber’ym’. Ada hubungan tapi t'jaga..Diperisai dengan sifat amanah & dipagari oleh sifat malu.
BERHUBUNGAN merujuk kepada perbuatan, tindakan yang menjurus kepada maksiat dan perlanggaran hukum Tuhan. Samada di ruang maya mahupun di alam maya, semuanya membawa kepada maksud yang sama ; memenuhi kehendak hati – yang sebenarnya adalah desakan hawa nafsu dan bisikan para syaitan.Keluar bersama, study bersama, mengadu masalah, meluahkan isi hati, saling kejut qiamullail, mesej ayat-ayat tazkirah, kata-kata hikmah, bergayut di telefon dan pelbagai lagi tindakan yang bisa disimpulkan dalam maksud BERHUBUNGAN.
Saya terkesan dengan salah satu status facebook seorang Syabab musafir kasih yang berbunyi:
Aku:"Rugilah ko tak approach dia. Awek cuns solehah tu kot. Dia pun dah bagi respon baik tu. Lampu hijau terang tang tang dah utk ko. Apesal ko tak manfaatkan peluang baik camni? Jgn tunggu lama-lama nanti dikebas orang."
Member:"Allah..Aku pun mmg ada niat nak nikahi dia. Tapi dengan keadaan aku yg tak ada apa-apa skrg, tak mampu nak bagi nafkah kat dia, aku serahkan bulat-bulat pada Allah utk Dia jaga sepenuhnya diri dan hati dia. Jika dia mmg Allah takdirkan untuk aku, cepat atau lambat dia tetap akan jadi milik aku. Jika aku terima dia skrg, atau mulakan hubungan dengan keadaan aku tak dapat jamin aku boleh nikahi dia dengan cepat, aku rasa aku dah khianati Dia dan dia. Malah, aku mungkin akan cemarkan perjalanan suci hidupnya. Maksud aku, dia mungkin sebenarnya hak orang lain yg Allah dah takdirkan lebih baik utk dia. Aku tak tahu dengan tepat siapa jodoh aku. Kau pun tak tahu. Sikit pun tak.
Biarlah dikebas orang, mungkin orang tu mmg untuk dia pun. Jika dah serah bulat-bulat padu percaya pada Allah, tenang sahajalah. Kenapa nak rasa rugi? Kenapa nak terburu-buru?"
Hendak jatuh hati, siapa boleh sekat? Hendak terasa rindu, siapa boleh halang? Tetapi berhubung, kita boleh ikhtiar untuk sekat, boleh usaha untuk halang. Biarkan status kekal sebagai ada hubungan, tetapi tidak berhubung!
Perkahwinan dalam tempoh belajar
Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kahwin muda itu adalah sesuatu perkara yang amat baik. Sebenarnya memang terdapat lebih banyak kebaikkan berbanding keburukkan jika melangsungkan perkahwinan di usia lebih muda (umur diantara 20-24 tahun).
Menunda perkahwinan menurut Syeikh Muhamad Bin Shalih Al-Utsaimin adalah sikap yang bertentangan dengan perintah Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda:
“Jika seorang lelaki yang engkau sukai agama dan akhlaknya melamar, maka nikahilah dia (dengan puterimu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, maka akan ada fitnah di atas bumi dan kerosakan”
Rasulullah SAW juga bersabda,
"Wahai para pemuda, barang siapa di antara kalian yang memiliki kesanggupan, maka hendaklah dia berkahwin. Kerana sesungguhnya berkahwin lebih menjaga pandangan dan lebih memelihara kemaluan.”
Syeikh Muhamad Bin Shalih Al-Utsaimin menasihati wali wanita dan wanita itu sendiri, janganlah menolak untuk berkahwin dengan alasan belajar atau mengajar.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya."
(H.R. Tirmidzi)
Perkahwinan dalam tempoh belajar kini sepertinya sudah menjadi satu 'trend'. Bila sebut saja pasal nak kahwin muda, kaitkan dengan tuntutan agama..
"Kahwin itu ibadah..sunnah Rasulullah."
"Dalam Islam xde istilah couple k!"
"Kahwin lambat, dosa bertambah lak...susah la nak jaga hati ni"
TAPI hakikatnya hubungan kepada Pemberi rasa Cinta tidak pula dijaga. Solat ikut mood, kalau tidak ditegur @ bukan dalam bulan Ramadhan..jangan harap nak sentuh Al-Quran! Sebut pasal nikah laju saja mengutarakan hujah2 'ilmiah'nya... Sahabat-sahabat..jagalah hubungan kita dengan Maha Pencipta..!
Matlamat ingin berkahwin bukanlah semata-mata kerana nafsu tetapi untuk mencari keredhaan Allah dan ingin mendekatkan diri lagi dengan Allah SWT.
Akan tetapi kita sering mendengar pendapat sesetengah orang yang mengatakan kalau yang nak kahwin awal (masih dalam tempoh belajar), tandanya memang dah ‘gatal’ sangat lah tu. Oh! Betapa negatifnya pemikiran seperti itu. Tetapi bila tengok banyak pasangan yang berpeleseran disana-sini tak pula dikatanya gatal! Dipandang enteng saja...
Dalam Islam sendiri telah mengatakan perkahwinan itu merupakan suatu ibadah yang amat dituntut oleh agama.
Persoalan besar sebelum perkahwinan
Saya ingin bercerita tentang seorang sahabat saya baharu ini meluahkan hasratnya ingin berkahwin dalam tahun ni (2012). Beberapa hari lalu, beliau meluahkan resahnya kepada saya...
"Syikin..rasa xsedap hati la plak"
"Apsal? Sebenarnya kau xnak kahwin ke?
"Ish! xla..aku happy sangat bila dia kata dah beritahu famili dia & nak hantar rombongan meminang.. Bleh nampak la yang dia betul-betul serius!"
"Dah tu? sebab korang sama-sama masih belajar?"
"Erm,,rasanya itu pun xde masalah. Walaupun aku tak usulkan lagi hal ni kepada mak & ayah aku.. Aku yakin mak ayah aku terima..."
" hEh! Serabut lak aku ngan masalah kau ni.. jadi apa masalah kau sebenarnya?"
"Aku takut abang-abang aku, makcik pakcik aku xsetuju aku nak kahwin...& lagi satu, aku takut plak mak ayah aku letak duit hantaran yang terlalu tinggi sebab kau pun tau kan..aku ni anak bongsu..tunggal perempuan dalam famili..."
Saya terdiam seketika..memikirkan jawapan terbaik untuk beliau..
"Macam ni la...apapun aku nak tanya. Apa perkara asas dalam rukun nikah? Pengantin lelaki..pengantin perempuan, akad, wali..ayah ko ada bleh jadi wali kan? and the last one..2orang saksi. So, 'pangkat' wali tuh blum jatuh kepada abang ko kan..mak ayah ko setuju, kira on la tu.. bukannya aku nak suh ko tolak tepi restu abang2 & makcik pakcik ko..tapi mereka kena faham la.. Ko yang akan hidup ngan pengantin lelaki, bukannya keluarga ko..ye tak? Lagi satu..pasal hantaran, ko kena ambil peranan plak kat situ. Cuba bincang bebaik..InsyaAllah! I'm sure ur parents can be tolerate..." (bajet speaking english,.)
fullstop!
Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda seperti saya yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.
Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?
Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?
Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?
Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam PTPTN atau dapat biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study, dan juga meminjam PTPTN atau dapat biasiswa. Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin RM50 atau RM100 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa!
Firman Allah:
"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui."
(An-Nur:32)
Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?
Sebelum itu, kita perlu tahu...Apa perkara asas dalam perkahwinan? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun..kan..kan? Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Dan tidak perlu sanding-sanding semua tu kerana hukumnya haram jika bersanding depan bukan mahram. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam perkara yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik mahar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam Islam. Tidak sampai puluhan ribu pun.
Bercerita mengenai perkahwinan zaman sekarang, ramai lelaki mengeluh dah berpeluh apabila memikirkan mahar dan hantaran kepada pengantin perempuan. Suasana di Malaysia, mahar ditetapkan oleh pejabat agama (setiap negeri dengan kadar berbeza) adalah nilai yang mampu dibayar kebanyakan pemuda. Namun dalam islam tidak salah sekiranya pengantin perempuan menetapkan kadar mahar mengikut kemahuan dirinya. Kebanyakan pengantin di Malaysia ditetapkan mas kahwin dengan kadar yang rendah tetapi wang hantaran yang tinggi!
Ramai menafsirkan hadis Rasulullah mengenai mahar kahwin dengan ucapan...
“sebaik-baik mahar adalah mahar yang rendah”
Sebaliknya yang dimaksudkan adalah...
“mahar yang mudah”
Tidak kiralah berapa nilai mahar yang ditetapkan oleh pengantin perempuan, itu haknya. Ingat! pengantin perempuan berkuasa VITO meletakkan seberapa banyak mahar yang dimahukannnya. (hehehe..tersenyum lebar sampai ke telinga) Jadi, keluarga hanyalah menjadi pencadang kepada kadar mas kahwin bukannya menetapkan kadar mas kahwin. Wallahu'alam...
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya."
(H.R. Thabrani)
Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?
Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi."
(H.R. Tirmidzi dan Ahmad)
Bersediakah saya untuk kahwin awal?
Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapannya, sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.
Macam mana dengan restu ibu bapa?
Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, berdoa lah semoga Allah percepatkan bertemu jodoh & permudahkan kahwin awal . Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah!
Wallahu'alam...
:::nota jari berinai:::
Sungguh Allah begitu mengasihi makhluknya, lebih dari seorang ibu menyayangi anaknya, dengan sabar dan keyakinan kepada-Nya, sedetik doa pun pasti tidak disiakanNya....