Wednesday, 23 November 2011

BLOOD STORY 2

 Ganjaran Dan Faedah Menderma Darah

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa hukum menderma darah itu adalah harus. Bahkan menderma darah merupakan salah satu perbuatan yang kebajikan dan sangat bermanfaat kerana
terselindung di sebaliknya konsep tolong-menolong sesama insan.

Menderma darah juga suatu amalan yang mulia kerana seseorang yang menderma darah itu tidak mengharapkan sebarang balasan, khususnya daripada segi kewangan ataupun material. Sekalipun hanya menderma ataupun sumbangan sahaja, namun janganlah ia dipandang sebagai sesuatu yang sama sekali tiada mendatangkan keuntungan.  Seseorang yang menderma darah pasti akan menikmati kepuasann kerana telah menyelamatkan nyawa orang lain dengan darah yang telah didermakannya. 



Perlu juga diketahui bahawa setiap satu pendermaan keseluruhan darah (whole blood) boleh
menyelamatkan sehingga tiga nyawa.

Selain itu, penderma darah akan mendapat manfaat kesihatan sebagaimana yang telah disahkan oleh pakar perubatan, antaranya seperti berikut:

i. Menawarkan pemeriksaan kesihatan secara tetap dan teratur.

ii. Memberikan maklumat mengenai pendidikan kesihatan dan
menggalakkan seseorang untuk mengekalkan gaya hidup
yang sihat.

iii. Hasil daripada proses menderma darah dapat membantu
merangsang penghasilan sel darah merah yang baru dan
seterusnya menyegarkan kembali sistem tubuh. Ini kerana
selepas menderma darah, kiraan sel darah dalam badan akan
berkurangan, yang mana akan merangsang sistem tubuh
untuk menghasilkan darah merah yang baru bagi
menggantikan darah yang telah hilang.

iv. Menderma darah dapat mencegah dan mengurangkan
pengumpulan zat besi yang berlebihan dalam tubuh, terutama
di kalangan mereka yang mudah mengalami keadaan ini.

v. Kajian mendapati menderma darah dapat mengurangkan zat
besi yang berlebihan dalam tubuh, seterusnya mengurangkan
risiko menghadapi serangan jantung sebanyak satu pertiga.
Ini adalah benar pada golongan lelaki yang tidak merokok
yang kerap atau berulang-kali menderma darah.

Di samping manfaat dari segi kesihatan bagi penderma darah,  mari kita perhatikan ganjaran dan balasan duniawi dan ukhrawi yang lain yang bakal diraih daripada perbuatan menderma darah
berdasarkan hadits Rasulullah saw. 

Dalil mengenai ganjaran atau balasan  daripada menderma darah ini  diambil secara umum daripada sabda Rasulullah saw yang dikhabarkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar ra:

“Seorang muslim itu adalah saudara seorang
muslim yang lain. Dia tidak boleh berbuat aniaya dan menyakiti
saudaranya tersebut. Barangsiapa yang menanggung (menolong)
hajat saudaranya, maka Allah pun akan menanggung (menolong)
hajatnya. Barangsiapa yang melepaskan salah satu kesusahan
seorang muslim, maka Allah akan melepaskan salah satu
kesusahannya di antara kesusahan-kesusahan hari Kiamat. Dan
barangsiapa yang menutupi (aib) seorang muslim, maka pada hari
Kiamat kelak Allah akan menutupi (aib) nya.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)


Menderma darah kepada orang Islam termasuk dalam maksud melepaskan kesusahan orang lain yang berhajat kepada penambahan darah. Oleh itu orang yang menderma darah itu  mendapat jaminan daripada Allah swt dengan berbagai jaminan, antaranya seperti yang disebutkan dalam hadits di atas, ditunaikan hajatnya, dilegakan kesedihannya, ditutup keaiban, kelemahan dan kecacatannya sama ada semasa di dunia atau di akhirat kelak.



Sebagai kesimpulan, hukum menderma dan menerima darah itu adalah harus selama mana tidak mendatangkan mudarat kepada kedua-dua pihak, sama ada yang menderma atau yang menerima,
dengan mengambil kira nasihat daripada pakar perubatan bahawa hanya dengan pemindahan darah sahajalah jalan atau cara untuk menyembuhkan atau menyelamatkan nyawa pesakit.
Ganjaran dan balasan yang dijanjikan di dunia dan di akhirat, sewajarnya membuka hati mana-mana individu agar giat menyumbang atau menderma darah bagi kepentingan
insan yang lain.


:::nota jari:::
Jom derma organ pulak! ^^

No comments:

Post a Comment